Monday, November 29, 2010

I'm back with Islam Jamaah..

Agak lama jugak la aku pergi meninggalkan blog ni kerana mencari arah tuju yg ingin aku terjuni.. Dulunya aku seakan kepingin tuk punyai satu blog sendiri selepas aku menjengah blog sahabat-sahabat yg lain. Tp lama-kelamaan, semakin banyak blog aku jengah, baru aku tau aku seharusnya ada satu arah tuk aku menulis dlm blog ni supaya blog yg aku "create" ni tidak seperti sesetengah blog lain yg kebanyakkannya kosong walaupon postingnya cukup banyak. Aku mahu blog aku ni mempunyai manfaat kepada setiap yg membacanya.

Ajaran Sesat

Kali ni aku kembali dengan satu isu yg baru-baru ni isu ini kembali rancak dibualkan oleh rakan-rakanku iaitu isu ajaran sesat. Isu yg menyentuh dan boleh merosakkan aqidah ummat Islam seperti ni tidak boleh dianggap enteng oleh masyarakat khususnya ummat Islam. Baru-baru ni beberapa akhbar tempatan menyiarkan berita tentang tumpasnya sebuah ajaran sesat yg dikenali sebagai "Islam Jamaah" di Bangi, Selangor. Sebenarnya ajaran ini bukan lah ajaran yg baru. Tetapi ajaran ni telah lama diperkenalkan. Ianya telah mula diperkenalkan di Jawa Timur oleh Haji Nurhasan Al Ubaidah Lubis (gambar dibawah) dan menggelarkan dirinya sebagai Amirul Mukminin.

Penyebaran

Ajaran ini dipercayai mula tersebar di Malaysia sekitar tahun 2002 berikutan sebuah tangkapan terhadap 10 orang warga Indonesia yang mempunyai kad pengenalan PR oleh pihak Imegresen dan kemudiannya tahanan ini diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Perak untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dengan ajaran yang meragukan. Dalam tangkapan ni sejumlah barang-barang kes telah dirampas seperti beberapa nashkah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan pihak Kerajaan Malaysia, beberapa kitab keagamaan, risalah-risalah keagamaan, borang penyaksian taubat nasuha dan risalah yang mengandungi syarat untuk mempelajari persilatan Asad. Hasil siasatan Jabatan Agama Islam Perak mendapati, kesemua tahanan merupakan pengikut ajaran Islam Jamaah ni dan dipercayai mereka telah menyebarkan ajaran ini dibeberapa tempat di Perak.


Ciri-ciri amalan Islam Jamaah yg menyeleweng daripada ajaran Islam


SUDUT AQIDAH.

( A ) Bai"ah.

Setiap pengikut beliau perlu berbai"ah dengan Haji Nurhasan atau wakilnya dan menyakini beliau sebagai Amirul Mukminin. Mereka harus patuh dan tunduk pada ketentuan guru.

( B ) Tidak Islam.

Menurut Haji Nurhasan bahawa mana-mana orang yang telah memasuki Islam Jamaah telah menjadi Islam yang sebenar manakala orang lain dianggap kafir.

( C ) Sumber Hukum.

Menurut ajaran Islam Jamaah, Amir ( Ketua ) adalah sumber hukum. Oleh itu, Amir akan menentukan segala-galanya ke atas pengikut seperti perkahwinan, perceraian dan sebagainya. Jika anak ingin berkahwin perlu mendapat izin Amir. Poligami adalah dilarang di kalangan pengikut Islam Jamaah.

SUDUT SYARIAH.

( A ) Kaedah Mempelajari Ilmu-Ilmu Islam.

Pengikut-pengikut ajaran Islam Jamaah diajarkan al Quran dan al Hadis secara manqul dari Haji Nurhasan tanpa dilengkapi ilmu sorof, nahwu, balaghah dan kitab-kitab tafsir. Mereka tidak menerima ilmu Feqah dan usul Feqah kerana selain al Quran dan al Hadis dianggap Bid"ah Dholalah. Hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak diterima, ini adalah kerana pengikut ajaran ini hanya menerima hadis secara silsilah guru iaitu Haji Nurhasan.

( B ) Najis Mughallazah Tidak Perlu Samak.

Ajaran kumpulan ini menjelaskan bahawa hanya bejana atau pinggan mangkuk yang dijilat anjing sahaja yang perlu disamak seperti yang disebut dalam hadis. Adapun selain dari itu sekiranya kita pegang anjing atau babi mahupun dalam keadaan basah tidak perlu disamak, kerana mereka menganggap ianya tidak najis.

( C ) Hanya Najis Manusia Dianggap Najis.

Mereka mentafsirkan bahawa najis manusia sahaja yang dianggap najis. Najis binatang tidak dikategorikan sebagai najis seperti tahi cicak. Cara-cara menyuci najis manusia hanya perlu buang najis tersebut, kemudian disiram. Sekiranya najis tersebut terkena lantai rumah atau tempat yang luas, tidak perlu mengalirkan air tersebut. Manakala najis binatang samada terkena pada tempat sembahyang atau pakaian tidak perlu disucikan, kerana ia tidak najis.

( D ) Tafsiran Air Dua Kolah Dan Musta"mal.

Mengikut tafsiran Islam Jamaah pada umumnya yang dimaksudkan air Dua Kolah itu tiada sukatan yang sebenarnya terpulang kepada seseorang itu untuk membuat sukatan, jika ia berpendapat sukatannya satu baldi maka itulah sukatan yang sebenarnya. Manakala tafsiran air Musta"mal pula ialah " Air bertakung yang sudah bercampur najis manusia " adapun air yang sudah digunakan atau air yang sudah digunakan atau air yang sudah bertukar warna seperti terkena air sabun atau sebagainya tidak dikira Musta"mal bahkan air itu suci dan menyucikan. Oleh yang demikian dalam tafsiran mereka air satu timba boleh digunakan untuk mengambil air sembahyang untuk beberapa orang dengan mencelupkan tangan ke dalam timba tersebut.

( E ) Sembelihan.

Mengenai sembelihan, kumpulan Islam jamaah telah menetapkan bahawa mana-mana binatang yang mati di dalam kawasan atau perkampungan orang-orang Islam ia tidak perlu disembelih dan halal dimakan. Tulang babi juga tidak haram atau najis kerana di dalam Al-Quran menyebut hanya daging babi sahaja. Alasan mereka berbuat demikian kerana ia makhluk ciptaan Allah.

( F ) Melakukan Solat Jumaat di rumah.

Mereka berpendapat bahawa solat Jumaat berjemaah di masjid itu hanyalah adat sahaja. Dengan alasan solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Di dalam Al-Quran ( Surah Al Jumuah ) menyebut kita hendaklah mengingati Allah dan tidak pula disuruh mendirikan solat Jumaat. Oleh itu, ada ketikanya mereka hanya membaca al Quran dan al Hadis untuk berzikir di rumah.

( G ) Menanggung Dan Membawa Al Quran Tanpa Berwuduk.

Mereka berbuat demikian dengan alasan bahawa tulisan ayat Al Quran adalah ciptaan manusia dan Al Quran sebenarnya terletak di Luh Mahfuz. Oleh itu mereka tidak menghormati Al Quran dan meletakkan di tempat yang tidak wajar seperti bersebelahan dengan tempat tidur kucing. Bahkan pengikut-pengikut ajaran ini juga menconteng dan menulis di dalan naskah kitab suci al Quran.

( H ) Menyebarkan Fahaman Khilafiah/ Furuiyah dalam Pengajaran Dan Amalan.

Antara amalan-amalan tersebut adalah seperti tidak membayar fidyah / tahlil untuk si mati. Begitu juga pembacaan talkin dan bacaan qunut dalam solat subuh. Semua perkara tersebut adalah amalan bid"ah dholalah dan mereka mengambil pendirian bahawa setiap bid"ah dholalah masuk api nereka. Mereka juga mengatakan bahawa, bersentuhan lelaki dan perempuan yang ajnabi tidak batal wuduk.

( I ) Dana / Sumbangan Harta

Terdapat 4 kategori infaq (membelanjakan harta) yang perlu dilaksanakan oleh setiap ahli ajaran Islam Jamaah iaitu :-

a. Infaq biasa - dibayar seminggu sekali sesudah solat jumaat

b. Infaq rutin - dibayar setiap bulan iaitu sebanyak 10% dari
pendapatan

c. Infaq - infaq kekayaan, iaitu semacam cukai kekayaan
Sabilillah yang ditentukan oleh amir.

d. Kifarah - Denda kerana melakukan kesalahan dikira mengikut
besar atau kecilnya kesalahan itu. Perlaksanaannya
ialah setelah orang itu mengaku bersalah dan bertaubat kepada Amirul Mukminin

( J ) Asnaf yang Berhak Menerima Zakat.

Mereka yang baru belajar Al Quran atau al Hadis dengan jamaah ini dianggap baru memeluk Islam. Oleh itu mereka berhak menerima zakat di atas asnaf muallaf walaupun ia seorang yang kaya.


Ajaran seperti ini seharusnya dibasmi secara totally bimbang ianya akan kembali menyerang aqidah ummat Islam generasi akan datang. Dah banyak ajaran sesat yg muncul di Malayisia ni dan ada ajaran yang masih lagi tidak dapat dibasmi contohnya ajaran Ayah Pin. Ajaran ni dipercayai masih lg wujud di tanah air kita ini terutama sekitar negeri di pantai barat semenanjung. Jabatan-jabatan dan agensi-agensi yg berkaitan harus bertindak secara lebih tegas dlm mslh ni kerna ianya melibatkan aqidah Islam yg menjadi tunjang agama Islam seseorang..


Sumber: Portal Rasmi Fatwa Malaysia.